Tuesday, February 13, 2007


Sosio-Emosi
Tidak dapat ditolak anggapan masyarakat umum bahawa individu yang berada di tahap dewasa akhir lebih banyak penyakit dan tidak kurang juga gangguan emosi. Antara gangguan emosi yang sering dihadapi ialah kemurungan atau depresi, reaksi parahoid, hipochondriasis, ingatan masa lampau. Terdapat juga faktor dari segi sosial, iaitu hubungan antara keluarga dan masyarakat.
i) Kemurungan
Reaksi kemurungan di tahap lanjut usia dapat diperhatikan jelas apabila mereka memperlihatkan perasaan dan tingkah laku bersedih hati yang ekstrim. Mereka yang dilanda murung tidak suka untuk mengadakan hubungan sosial, bersifat pessimis, mempunyai konsep-kendiri yang rendah, daya mental mereka menjadi begitu lemah sekali dan lain-lain gangguan fizikal. Dalam kajian-kajian yang dilakukan (umpama kajian Pfeiffer, 1970), didapati bahawa terdapat hubungan yang erat di antara perasaan kemurungan yang tinggi dan niat untuk membunuh diri di kalangan golongan lanjut usia. Individu lanjut usia yang dilanda kemurungan didapati sukar untuk membuat sesuatu keputusan walaupun berhubung dengan hal-hal yang terlalu mudah untuk diatasi. Pertuturan mereka menjadi lambat, begitu juga dengan pergerakan fizikal. Dari segi simpton fizikal, didapati mereka yang berada dalam keadaan kemurungan melaporkan mereka tidak lalu makan, berat badan menurun, keletihan yang keterlaluan terutama sekali di waktu pagi, sukar untuk tidur dan sering terjaga dalam tidur di waktu malam.
ii) Reaksi Paranoid
Individu lanjut usia yang dilanda kemurungan selalu juga mempunyai reaksi paranoid. Paranoid atau berperasangka tidak menentu dan berperasangka tidak baik terhadap orang lain ini selalunya berlaku di kalangan individu lanjut usia yagn mempunyai masalah-masalah berhubung dengan kepancainderaan. Mereka yang tidak dapat mendengar dengan baik, atau tidak dapat melihat dengan jelas atau berkurang daya perasa selalunya mempunyai reaksi paranoid. Masalah paranoid di kalangan masyarakat lanjut usia ini selalunya mudah untuk diatasi terutama sendiri reaksi paranoid yang berpunca daripada kehilangan daya kepancainderaan.
iii) Hipochondriasis
Hipochondriasis merupakan suatu contoh daripada kecelaruan kefungsian di kalangan individu lanjut usia yang banyak berlaku di kalangan kaum wanita daripada kaum lelaki. Hipochondriasis ialah tingkah laku dan sikap individu yang sering merasai mereka mempunyai penyakit tertentu, padahal dalam keadaan yang sebenarnya, mereka tidak mempunyai apa-apa masalah berhubung dengan penyakit yang dijangkakan itu. Pada umumnya mereka yang dilanda simpton hipochondriasis melaporkan mereka sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang tidak memuaskan, sakit dan perlukan rawatan yang intensif. Disebabkan gangguan ini, mereka sering kali berada dalam keadaan ketakutan dan ketegangan. Mereka yang menghadapi gangguan hipochondriasis selalunya terdiri daripada mereka yang terlalu mengambil berat tentang diri dan kesihatan badan. Mereka tidak dapat menerima kenyataan yang keupayaan fizikal dan biologikal mereka berubah apabila umur meningkat, telah terutama sekali apabila berada di tahap lanjut usia.
iv) Ingatan masa lampau
Individu yang berada di tahap dewasa akhir selalunya akan cuba mengingati masa lampau. Perkara yang mendatangkan kebahagiaan atau kejayaan pada masa lampau mereka. Ini akan membuat mereka rasa puas hati dan juga lega dalam mengharungi kehidupan ini. Contohnya kejayaan ialah mendapat pangkat yang tinggi dalam kerjayanya, dapat berbakti kepada masyarakat dan lain-lain lagi. Kebahagiaan yang dikecapi berkemungkinan ialah mendapat sebuah keluarga yang bahagia serta anak-anak yang cemerlang. Kisah masa lampau yang positif ini akan mendorong mereka untuk terus hidup dengan gembira, bahagia dan tidak rasa bersalah dengan apa yang telah dilakukan. Tetapi bagi perkara yang mendatangkan kesedihan, keburukan akan membuat mereka ini merasa tidak puas hati dan kecewa dengan kehidupan yang lalu. Kemungkinan besar mereka rasa rugi dengan apa yang telah dilakukan pada usia remaja dan dewasa. Antara kekecewaan yang boleh dilihat ialah melakukan maksiat, penceraian dan tidak berjaya dalam kerjayanya. Hal ini juga dinyatakan oleh tokoh psikologi iaitu Erik Erikson.
Keluarga dan masyarakat
Pada tahap dewasa akhir ini, golongan warga emas lebih bersikap sensitif. Keadaan ini dapat dilihat apabila emosi mereka mudah tersentuh walaupun hal yang diperkatakan tidak sebesar mana. Emosi yang sensitif menyebabkan mereka merasa bahawa anak-anak tidak senang dengan kehadiran mereka. Oleh itu, ada anak-anak yang boleh menerima keadaan ibu bapa mereka yang walaupun dalam keadaan yang membebankan. Tidak kurang juga anak-anak yang tidak sanggup menjaga ibu bapa mereka dengan alasan mereka tidak ada masa dan sibuk dengan kerjaya mereka untuk menguruskan kehidupan ibu bapa mereka. Hal ini boleh menyebabkan adanya di kalangan anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Dengan anggapan bahawa ibu bapa mereka akan lebih terjaga dan selamat. Jika dilihat dari pandangan kaca mata orang, tindakan sesetengah anak-anak ini yang menghantarkan ibu bapa ke rumah orang tua adalah tindakan yang negatif. Hal ini ibarat kata pepatah "seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu".

1 comment:

ivory said...

isi-isi ini telah memberi banyak pengetahuan kepada saya!